KUALA LUMPUR: Pihak polis sedang memburu individu disyaki membunuh tiga ekor anak kucing dalam kejadian di kediaman pelajar sebuah kolej swasta di Jalan Setapak, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata kejadian dipercayai berlaku 17 November lalu.
“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes khianat terhadap haiwan melibatkan tiga ekor kucing, semalam.
“Kucing terbabit ditemukan mati berlumuran darah di bahagian kepala di tangga sebuah kediaman pelajar di Setapak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini siasatan masih di peringkat awal dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta merakam percakapan dua individu iaitu pengadu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa keping gambar dan video memaparkan tiga ekor anak kucing dimuat naik di halaman Instagram sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam hantaran itu memaklumkan menerima laporan daripada saksi berhubung penemuan mayat tiga ekor anak kucing dipercayai mati ditikam kira-kira 5 petang.
Video dan gambar berkenaan, memaparkan kesan tompokan darah kering dipercayai kesan daripada tikaman ke atas haiwan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.