KUCHING: Polis kini sedang memburu kesemua suspek yang terlibat dengan satu kejadian rusuhan di kawasan tempat letak kenderaan di belakang Pejabat Daerah Kanowit petang semalam.
Dalam kejadian berkenaan dua mangsa cedera manakala dua kenderaan milik mereka turut dirosakkan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, polis menerima satu laporan mengenai kejadian itu pada hari yang sama susulan insiden berkenaan tular di media sosial.
“kita telah menerima satu laporan berkenaan tular satu kejadian merusuh di kawasan parkir kereta di bahagian belakang Pejabat Daerah Kanowit jam lebih kurang 1.30 petang.
“Kejadian tersebut telah menyebabkan dua orang lelaki mengalami kecederaan dan kerosakan kenderaan milik mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kejadian terbabit.
Katanya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara selama 5 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Polis kini sedang memburu kesemua suspek yang terlibat dengan satu kejadian rusuhan di kawasan tempat letak kenderaan di belakang Pejabat Daerah Kanowit petang semalam.
Sumber: Video tular pic.twitter.com/2fl8KodR5l
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 13, 2023
Mohd Azman dalam pada itu turut menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan melulu dengan melanggar undang-undang sehingga boleh disabitkan kesalahan.
“Selain itu, pihak polis menyeru agar masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kejadian ini kepada KBSJD IPD Kanowit (ASP Mohd Faizal Nawi) di talian 016-8657432 Atau IPD Kanowit di Talian 084-752222,” katanya.