Tumpuan :
Nasional

Polis buru suspek lontar bom petrol

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Polis sedang mengesan seorang individu disyaki melontar bom petrol di kedai serbaneka KK Mart, Sungai Isap, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kelibat individu terbabit dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis berhampir kedai serbaneka terbabit.

Menurutnya, individu terbabit dipercayai ke lokasi kejadian seorang diri dan meletak kenderaan agak jauh daripada kedai serbaneka itu.

Katanya, kelibat suspek dikesan melakukan serangan itu dan melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan CCTV sebuah premis perniagaan berhampiran lokasi kejadian kita sudah mengesan kelibat seorang suspek dan kita sedang mengesan individu berkenaan.

“Berdasarkan rakaman CCTV kelibat suspek dirakam melarikan diri selepas melempar bom petrol terbabit,”

“Kita percaya perbuatan itu hanya dilakukan seorang suspek dan usaha mengesan individu terbabit sedang dilakukan.” katanya ketika ditemui media di program Kempen Pencegahan Jenayah Sempena Hari Raya Aidilfitri di Dataran Sekilau, di sini, malam tadi

Wan Mohd Zahari berkata, hingga kini, polis sudah merakam keterangan empat saksi termasuk dua kakitangan kedai serbaneka berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, kedai serbaneka KK Mart di Sungai Isap, dibaling bom petrol menyebabkan berlaku kebakaran kecil di pintu masuk dan ruang depan premis.

Api dapat dipadamkan kakitangan kedai serbaneka itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini