
KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau dalam satu video berdurasi tiga minit 49 saat yang tular di Facebook sejak semalam.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Manchis, Bentong, Pahang, oleh seorang lelaki berusia 32 tahun selepas menonton video itu menerusi akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, termasuk usaha mengesan suspek yang dipercayai berada di luar negara.
“Video itu dimuat naik pada 5 Mac sebelum dipadam selepas menerima kecaman orang ramai kerana mengandungi kata-kata kesat dan penghinaan terhadap penganut Islam.
“Polis memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama kerana ia boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya memetik laporan BH.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian kaum dan agama, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Razarudin turut memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.