Tumpuan :
Nasional

Polis buru dua suspek samun bersenjata di Taman Sri Treh

MUAR: Polis sedang memburu dua lelaki yang terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Taman Sri Treh dekat sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kes itu pada jam 6.20 petang.

Katanya, sebaik menerima maklumat anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati, dua suspek terbabit dalam kejadian itu.

“Pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi, polis telah berjaya menemui kenderaan yang digunakan oleh suspek di Jasin, Melaka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sebelum itu, tular beberapa video kejadian berkenaan di media sosial menunjukkan dua lelaki bertopeng melakukan pecah rumah dan samun bersenjata di sebuah rumah di Taman Sri Treh.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan masa dan tarikh kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.21 petang.

Dalam video berkenaan, kedua-dua suspek dilihat memakai sarung tangan dan membawa senjata seperti parang dan besi berjalan memasuki rumah mangsa.

Suspek memegang senjata tajam menyorok di sebalik tembok pagar sementara sebuah kereta Perodua Myvi memasuki garaj rumah terbabit dipercayai dipandu oleh seorang lagi suspek.

Salah salah seorang suspek kemudiannya menyelongkar mencari barang berharga manakala seorang wanita dan kanak-kanak tidur di atas sofa.

Tidak lama kemudian, dua lelaki dipercayai ahli keluarga rumah berkenaan tiba dan cuba memeriksa kereta Perodua Myvi sebelum mangsa diserang kedua-dua suspek menggunakan senjata parang.

Suspek menghidupkan enjin kereta Perodua Myvi dan merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dan motosikal yang diparkir di hadapan rumah.

Suspek kemudiannya berjaya melarikan diri dengan Perodua Myvi berwarna putih.

Difahamkan, salah seorang mangsa cedera terkena libasan parang ketika bergelut dengan suspek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian samun terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor P.Seventhi ditalian 011-16251909 atau talian hotline IPD Muar 06-952600.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini