SHAH ALAM: Polis memburu dua lelaki Indonesia yang menghantar tiga daripada empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang selepas cedera ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dua lelaki itu dipercayai turut terbabit dalam kejadian awal pagi itu, malah polis yakin ada beberapa lagi individu turut terbabit berdasarkan saiz bot dan keterangan saksi.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya merakam 14 percakapan membabitkan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selain dua daripada empat suspek yang cedera.
“Mereka terlibat aktiviti penyeludupan manusia yang mana mereka termasuk seorang yang meninggal dunia dikesan tiada dokumen sah.
“Kita percaya mereka dalam proses keluar dari perairan negara menggunakan laluan tidak sah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Terdahulu, Unit Kecemasan Hospital Sultan Idris Shah menerima tiga lelaki yang cedera akibat ditembak.
Berdasarkan maklumat, tiga lelaki warga Indonesia itu dihantar ke hospital berkenaan jam 7.30 pagi dengan sebuah kereta Toyota Vios.
Ketiga-tiga lelaki itu mempunyai kaitan dengan dua lagi warga Indonesia yang ditemui dalam bot termasuk seorang yang maut.
Mengulas tindakan anggota Maritim Malaysia melepaskan tembakan, Hussein berkata, agensi berkenaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk melepaskan tembakan apabila mereka diancam.
“Kita hampir selesaikan siasatan dan akan merujuk pihak Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.