KOTA TINGGI: Orang ramai sekitar daerah ini diminta untuk tidak memasuki pusat bandar memandangkan kawasan berkenaan masih dinaiki air.
Berdasarkan tinjauan di pusat bandar mendapati, kebanyakan deretan rumah kedai dan lot perniagaan bersebelahan Sungai Johor ditenggelamkan air lebih satu meter.
Beberapa kenderaan yang tidak sempat dialihkan dan ditinggalkan di tepi jalan turut tenggelam susulan air bah yang masih dalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata anggota penyelamat bersiap sedia atas apa jua kemungkinan berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.
“Mengikut ramalan awal hujan lebat berterusan hanya sehingga kelmarin dengan cuaca di daerah ini diramalkan cerah sejak semalam, namun hujan lebat masih turun.
“Hujan lebat yang bertembung dengan air pasang besar sehingga 2.9 meter menyebabkan pusat bandar dijangkakan mungkin terus dinaiki air bah dalam masa dua tiga hari ini.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak masuk ke pusat bandar ketika ini bagi memberi laluan kepada anggota penyelamat melakukan operasi pemantauan yang dilakukan 24 jam sehari,” katanya.
Orang ramai sekitar daerah Kota Tinggi diminta untuk tidak memasuki pusat bandar memandangkan kawasan berkenaan masih dinaiki air. pic.twitter.com/DbFGBF2CLW
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 9, 2024
Polis juga melakukan pemantauan di pusat bandar dengan membunyikan wisel bagi memanggil segelintir penduduk yang masih enggan berpindah.
Anggota bertugas dilihat memberi nasihat supaya penduduk yang tinggal di tingkat dua premis rumah kedai supaya berpindah berikutan air bah yang masih tinggi.
Dalam pada itu, Hussin menasihatkan segelintir penduduk yang masih enggan berpindah supaya sentiasa berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan.
Katanya, terdapat segelintir pendudukyang tinggal di tingkat dua premis rumah kedai yang enggan berpindah walaupun sentiasa diberikan nasihat setiap hari.
“Alasan mereka stok makanan di kediaman masih banyak dan lebih selesa tinggal di rumah. Oleh itu, kami tidak dapat memaksa mereka berpindah jika mereka enggan.
“Namun pemantauan 24 jam dilakukan anggota bertugas setiap hari di pusat bandar bagi memantau paras air selain memeriksa keselamatan premis dan penduduk enggan berpindah,” katanya.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Mangsa banjir di Kota Tinggi terus meningkat
- Peniaga rugi, tidak sempat selamatkan barang
- [VIDEO] Bandar Kota Tinggi hampir lumpuh akibat banjir
- [VIDEO] Banjir di Johor bakal bertambah buruk, enam sungai lepasi paras bahaya
- [VIDEO] Mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat 4,652 orang setakat 9 malam