comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis buka kertas siasatan kes gaduh ‘rider’ dan pengawal

 

Foto tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR: Polis menerima laporan berhubung kes pergaduhan antara seorang penghantar makanan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di ibu kota, seperti tular di media sosial hari ini.

Menerusi dua rakaman video berdurasi tiga minit 15 saat dan dua minit 15 saat menunjukkan berlaku perselisihan faham antara dua lelaki itu.

 

Berdasarkan hantaran pada video berkenaan, penghantar barangan itu didakwa tidak dibernarkan masuk ke dalam bangunan tetapi pelanggannya bertegas supaya penghantar itu masuk ke bangunan berkenaan.

Bagaimanapun penghantar itu dikatakan memarahi pengawal terbabit menyebabkan dia memanggil rakan sekerjanya untuk mendapatkan bantuan sebelum tercetus pergaduhan.

Pergaduhan berlaku antara penghantar dan seorang lelaki memakai jaket merah.

Bagaimanapun ketika pergelutan berlaku, seorang wanita yang dipercayai pelanggan kepada penghantar itu meminta suspek melepaskan mangsa.

Foto tangkap layar video tular

Wanita terbabit juga mengaku akan bertanggungjawab kerana dia yang meminta penghantar itu masuk ke premis berkenaan.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.

“Polis sudah mengenal pasti saksi kejadian dan memanggil mereka untuk diambil keterangan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan sementara polis melakukan siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222.

Loading...
Terkini