BATU PAHAT: Polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, susulan penemuan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dan masih bertali pusat, diletakkan dalam sebuah kotak di sebuah gerai, di kawasan Perindustrian Taman Kota, Yong Peng awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan awal mendapati Balai Polis Yong Peng menerima maklumat daripada seorang wanita yang telah menemui bayi berkenaan kira-kira jam 5.30 pagi tadi tanpa sebarang dokumen.
“Bayi ditinggalkan dalam kotak yang dibungkus kain batik dan sehelai tuala cukup sifat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
“Bayi terbabit telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Batu Pahat, Inspektor Nurul Aqilah Che Ali ditalian 011-55882109 atau balai polis berhampiran atau talian Hotline Polis Kontinjen Johor 07-221299 atau melalui Hotline IPD Batu Pahat 07-4343999.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.