comscore
Tumpuan :
Nasional

Bahan kimia yang bocor dikenal pasti sebagai Methyl Mercaptan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Sebuah jentera ‘Mobile Command Post’ milik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ditempatkan di lokasi kejadian kebocoran bahan kimia di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering KLIA, di sini.

Pusat itu bagi memantau situasi dan mengawal risiko dalam kejadian yang berlaku pagi tadi.

Tinjauan krew Buletin TV3 mendapati, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) KLIA serta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah KLIA turut berada di lokasi untuk pemantauan dan menjalankan siasatan.

Setakat jam 5.30 petang tadi, pihak JBPM dan PDRM masih lagi giat mengenal pasti punca kejadian.

Selain itu, laluan menuju ke Sepang Aircraft Engineering ditutup untuk semua kenderaan dan dikawal oleh pasukan Aviation Security (AVSEC) sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, krew bersama beberapa pengamal media yang membuat liputan di lokasi turut terhidu bau bahan kimia berkenaan.

Terdahulu, Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya melalui Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kebocoran bahan kimia di lokasi pada jam 11.23 pagi.

Susulan itu, seramai 23 pegawai JBPM KLIA serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan JBPM Negeri Sembilan digerakkan ke operasi tersebut.

Antara agensi yang terlibat adalah Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), AVSEC, PDRM, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan Air Side Safety.

Menurut komander operasi, PBK II Muhammad Nur Khairi Samsumin, terdapat 20 mangsa mengalami pening kepala susulan kejadian terbabit.

Mereka terdiri daripada kakitangan Sepang Aircraf,  MAS Engineering Hangar dan  CAE.

Seramai enam mangsa telah dihantar ke Unit Kecemasan Udara (ADU), 13 mangsa dibawa ke pusat perubatan terdekat dan seorang mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini