comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis bantuan maut dalam perjalanan pulang ke rumah

HULU SELANGOR: Seorang anggota polis bantuan maut dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 5 Jalan Ampang Pecah-Rasa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa yang maut berusia 20 tahun maut di tempat kejadian dipercayai baru habis kerja.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, nahas membabitkan motosikal Honda RS150 dengan lori tunda.

Katanya, ketika kejadian anggota polis bantuan itu menunggang motosikal dari PERODUA Sungai Choh dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tanjak, Kuala Kubu Bharu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori tunda berusia 23 tahun dari Kuala Kubu Bharu ke Rasa dengan menunda kereta Perodua Bezza.

“Tiba di selekoh kiri, berlaku pelanggaran depan menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke sebelah kiri jalan.

“Manakala lori tunda pula terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, anggota polis bantuan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala mangsa lain dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan.

“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini