KEMAMAN: Polis menyerbu sebuah cafe dan mengarahkan penganjur menghentikan serta-merta konsert yang dikenali sebagai Malam Perayaan Patah Hati, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, serbuan ke atas sebuah kafe itu dilakukan kira-kira jam 11 malam.
Menurutnya, pihak polis bertindak selepas menerima laporan awam berhubung kesesakan lalu lintas serta gangguan bunyi muzik yang kuat di situ kira-kira jam 9.20 malam.
“Kira-kira 1,500 peserta hadir pada program terbabit yang didapati tidak mempunyai permit kelulusan.
“Pihak polis mengarahkan penganjuran program itu dihentikan dan mengarahkan kesemua peserta bersurai.
“Pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah membuat pemantauan awal mengenai penganjuran pogram itu dan telah menampal notis larangan berkumpul.
“Bagaimanapun, program berkenaan tetap diteruskan dan siasatan lanjut sedang dilakukan dan kita akan memanggil penganjur program itu untuk memberi keterangan,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memaklumkan kepada pihak polis berkaitan penganjuran dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 kerana tiada lesen hiburan.
Sebelum itu, tular di laman sosial Facebook dan TikTok mengenai penganjuran program itu sehingga menyebabkan kebanyakan peserta dilihat tidak berpuas hati selepas diarahkan bersurai oleh pihak berkuasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.