Tumpuan :
Nasional

Polis ambil keterangan seorang lagi individu bantu kes 4 maut konsert tahun baharu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan daripada seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, individu berkenaan yang sebelum ini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudah dibenarkan pulang dan keterangannya diambil semalam.

Menurutnya, setakat ini seramai 50 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun terdiri daripada rakan dan ahli keluarga mangsa sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Katanya, pihaknya juga masih menunggu masa sesuai untuk merakam keterangan seorang lagi individu yang masih menerima rawatan di PPUM yang kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Terdahulu media melaporkan, siasatan awal polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert itu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Pihak penganjur kemudian tampil dengan kenyataan bahawa mereka sudah mengambil pelbagai langkah keselamatan seperti kehadiran lebih 100 anggota polis, menempatkan anggota keselamatan terlatih dan unit K9 di semua pintu masuk, serta akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan polis.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini