Tumpuan :
Nasional

Polis ambil keterangan lima individu kes bayi meninggal dunia di pusat jagaan

Foto hiasan

KOTA BHARU: Polis mengesahkan pusat jagaan berpantang di Kubang Kerian, di sini, yang menjadi lokasi bayi lelaki berusia 30 hari meninggal dunia Isnin lalu adalah berlesen.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata premis berkenaan juga beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Premis berkenaan berdaftar dengan Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM) dan setakat ini tiada keperluan untuk menutup premis terbabit.

“Bagaimanapun siasatan berhubung kes kematian bayi terbabit masih diteruskan. Sehingga kini polis sudah mengambil keterangan lima individu termasuk ibu bapa mangsa serta pemilik pusat jagaan terbabit.

“Siasatan akan dilakukan berterusan dan kita akan merekodkan keterangan saksi-saksi pula selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, bayi lelaki berusia sebulan meninggal dunia di sebuah pusat jagaan berpantang, di sini awal pagi Selasa lalu.

Bayi berkenaan dikatakan tidak sedarkan diri pada jam 5.30 pagi selepas diberikan susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Kota Bharu Medical Center (KBMC) untuk rawatan dan disahkan sudah meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang jururawat berusia 20-an pada jam 6 petang semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, bapa kepada bayi berkenaan, Choo Kamin, 30, mendakwa bayinya bukan tersedak susu sebaliknya dikasari dan dipukul oleh suspek sehingga maut dan kejadian itu dilihat berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini