SUNGAI BESAR: Susulan kes kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang lemas ketika mandi di kolam renang rekreasi sebuah inap desa di Jalan Sungai Panjang di sini, kelmarin, polis ambil keterangan bapa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad, berkata keterangan lelaki berusia 36 tahun itu diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, kira-kira jam 11 malam kelmarin.
“Polis tidak menahan bapa mangsa, hanya ambil kenyataan dahulu. Ia kemudian akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam kolam dewasa dan cuba diberi bantuan pernafasan oleh bapanya sebelum disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Merbau Berdarah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.