comscore
Tumpuan :
Nasional

Polemik rumah pelacuran tidak boleh diterima, sewajarnya ditolak masyarakat – Na’im 

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini menegaskan bahawa cadangan agar rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing dibuka di negara ini perlu ditolak masyarakat.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa jelas Mohd Naim, cadangan yang disuarakan oleh seorang pelakon, usahawan dan penerbit dalam sebuah podcast di laman sosial itu, jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merujuk kepada laporan daripada portal berita tempatan pada 8 Januari 2024 mengenai kenyataan oleh seorang pelakon terkenal tanah air dalam sebuah podcast di laman sosial berhubung cadangan membuka rumah pelacuran kepada warga asing sebagai langkah mengurangkan kes rogol dalam negara ini.

“Cadangan tersebut telah mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia. Pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574],” jelasnya.

Mengikut undang-undang jelas Naim, aktiviti pelacuran adalah salah dibawah Seksyen 372, Seksyen 372A, Seksyen 372B dan Seksyen 373.
Malah dibawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah juga jelas Mohd Naim, turut memperuntukan kesalahan dibawah Subseksyen 21, Seksyen 22 dan Seksyen 23 (Akta 559).

“Pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud. Pelacuran dan zina adalah perbuatan yang melibatkan hubungan seksual di luar hubungan perkahwinan.

“Secara umumnya, kebanyakan ulama’ terdahulu membincangkan isu rogol di bawah jenayah zina kerana ia mempunyai perkaitan yang rapat, iaitu persetubuhan haram.

“Berdasarkan kedudukan ini, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Justeru cadangan yang disuarakan itu tegas Mohd Naim lagi adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid Al-Syariah.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan; Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya lagi.

Sebelum ini, Rosyam dalam satu sesi wawancara berlangsung melalui podcast Hitam Putih Kehidupan yang disiarkan di TikTok Suhan Movies menyifatkan pusat pelacuran perlu ada di negara ini bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing.

Bagaimanapun kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dan masyarakat setempat.

Loading...
Terkini