comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok tumbang hempap tiang elektrik, TNB gesa orang ramai berhati-hati

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyeru orang awam berhati-hati dan mengutamakan keselamatan berhubung kejadian pokok tumbang menghempap tiang elektrik susulan cuaca buruk di Pulau Pinang dan Kedah, hari ini.

Syarikat utiliti itu juga memaklumkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di kawasan yang terjejas akan mengambil masa berikutan kejadian pokok tumbang.

Dalam notis pemakluman yang dimuat naik di laman media sosial, TNB berkata kira-kira tujuh kawasan di Pulau Pinang dan Kedah mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Di Pulau Pinang, kawasan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Balik Pulau, Tanjung Tokong, Jalan Teluk Bahang merupakan kawasan terlibat.

“Manakala di Kedah, Pendang dan Guar Chempedak terjejas.

“Susulan daripada kejadian ribut dan hujan lebat di beberapa kawasan sekitar di Kedah dan Pulau Pinang, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dijangka akan mengambil masa yang panjang kerana banyak pokok tumbang yang menghempap tiang dan talian TNB.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri talian TNB yang jatuh atau mana-mana pepasangan elektrik yang rosak,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Pasukan teknikal TNB juga sedang berusaha untuk memulihkan bekalan termasuk mengutamakan keselamatan semua pihak semasa kerja-kerja pemulihan bekalan.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata 32 daripada 79 kejadian pokok tumbang di bahagian pulau di Pulau Pinang belum diselesaikan sepenuhnya.

Kesemua aduan tersebut telah disalurkan kepada anggota Skuad Pantas MBPP untuk kerja-kerja memangkas, mengalih dan membersihkan kawasan yang terlibat.

Tinjauan mendapati kerja-kerja pembersihan dihentikan sementara pada waktu malam dan akan diteruskan pagi esok.

Hujan lebat serta ribut dari jam 1 hingga 7 pagi tadi menyebabkan kejadian pokok tumbang, bumbung rumah tercabut dan kesesakan lalu lintas di lokasi terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini