comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok tumbang hempap rumah, 7 sekeluarga terselamat

SIK: Tujuh sekeluarga terselamat apabila rumah didiami mereka dihempap pokok ‘kakho’ yang tumbang ketika hujan lebat dan angin kencang di Kampung Kuala Temin, Jeneri, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian sekitar 8 malam itu, mereka sempat melarikan diri ke rumah jiran berhampiran sebaik pokok sebesar satu pemeluk itu tumbang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.26 malam.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa lelaki bersama isteri dan anak-anak serta saudaranya yang datang bercuti berada dalam rumah sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

“Mereka kemudian melarikan diri ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri sebelum operasi membersihkan lokasi dilakukan pihak bomba,” katanya.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini