comscore
Tumpuan :
Kemalangan

[VIDEO] Pokok tumbang hempap kereta, dua orang cedera

KUALA LUMPUR: Dua cedera manakala tiga lagi termasuk dua kanak-kanak selamat selepas kenderaan dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang dalam kejadian berasingan di Taman Pagar Ruyung dan berhampiran Masjid Negara, Bukit Aman di sini, petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan, berkata kejadian pertama di Jalan 2/115A, Taman Pagar Ruyung dilaporkan pada jam 5.05 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama jentera LFRT dan ERMS dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa.

“Pasukan bomba sampai di tempat kejadian pada jam 5.15 petang dan mendapati dua kereta iaitu jenis Perodua Aruz dan Toyota Vios dihempap pokok tumbang.

“Terdapat seorang pemandu bersama dua kanak-kanak dalam Perodua Aruz dan seorang pemandu dalam Toyota Vios.

“Semua mangsa terlebih dulu diselamatkan orang awam. Seorang mangsa lelaki dewasa mengalami cedera ringan serta sesak nafas dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Menurut kenyataan itu, laporan kejadian pokok tumbang kedua berhampiran Masjid Negara diterima pada jam 5 petang sebelum bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Seorang pemandu wanita yang tersepit dalam kenderaan Proton Exora yang remuk itu berjaya dikeluarkan.

Mangsa mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Anggota bomba yang berada di kedua-dua lokasi kejadian kemudian memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang dibantu petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membuka laluan yang terhalang. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini