comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok hempap kenderaan, pemandu terselamat

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Tiga kenderaan rosak dihempap pokok tumbang dalam dua kejadian berasingan di Pulau Pinang, pagi tadi.

Ia bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu atau penumpang.

Dalam kejadian pertama, seorang wanita terselamat apabila sempat keluar dari kenderaan sebelum dihempap pokok di Jalan Siram, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, wanita berkenaan menyedari keadaan pokok yang tidak stabil dan bergegas keluar dari kereta Honda City yang dipandunya.

Beberapa saat kemudian, pokok besar itu tumbang di atas keretanya sehingga menyebabkan ia mengalami kerosakan teruk.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa telah keluar dari kenderaan sebelum pihak bomba tiba.

“Kejadian tidak melibatkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan ringkas ketika dihubungi media, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian kedua, dua lagi kenderaan ditimpa pokok tumbang di Jalan Paya Terubong menghala ke Relau kira-kira jam 9 pagi.

“Apabila bomba tiba di tempat kejadian, didapati terdapat pokok tumbang melintangi jalan dan terdapat dua buah kenderaan yang terlibat dalam kejadian.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

Sementara itu, di Pulau Tikus pula, sebanyak 13 kes pokok tumbang dilaporkan sehingga jam 9.50 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata, salah satu kejadian berlaku di hadapan pusat khidmatnya.

Dahan besar dari pokok tua yang besar dikatakan patah menyebabkan papan tanda di kedai sebelah pusat khidmat itu rosak teruk.

Bagaimanapun katanya, kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini