Tumpuan :
Nasional

‘Poket Show’ gambaran sebenar banduan di penjara

Oleh: Aslina Abu Bakar

MELAKA: Ramai yang tidak pernah merasai dan melihat kehidupan sebenar banduan menjalani hukuman di sebalik tirai besi.

Bagaimanapun, orang ramai yang berkunjung ke Muzium Penjara Malaysia, kini berpeluang menyaksikan secara dekat kehidupan banduan melalui persembahan ‘Poket Show’ yang dilakonkan pegawai dan anggota Jabatan Penjara Malaysia secara langsung di dalam sel tahanan.

Kisah benar yang dipaparkan kepada pengunjung bukan sahaja menginsafkan, malah melahirkan rasa gerun apabila ia dipersembahkan di dalam sel yang menjadi lokasi banduan menjalani hukuman sejak pemerintahan British lagi.

Malah, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan simulasi hukuman yang dijalankan pegawai penjara namun mereka dibenarkan duduk di dalam sel selama 15 hingga 20 minit untuk merasai sendiri kehidupan di sebalik tembok batu itu.

Pengarah Muzium Penjara Melaka, Mohd Saifullah Md Akhir berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sistem hukuman dan pemulihan yang dilaksanakan jabatan berkenaan secara lebih dekat.

“Sebenarnya kita ingin memberitahulah kepada masyarakat bahawa fungsi muzium penjara bukanlah sebagai tempat lawatan semata mata, tetapi turut menjadi medium penyebaran pendidikan jenayah kepada masyarakat.

“Pihak kami juga turut merangka beberapa lagi program dan mengalu-alukan mana-mana agensi luar yang berminat untuk mengadakan program di muzium ini,” katanya.

Muzium penjara Melaka atau dikenali H.M Jail adalah penjara kedua tertua yang di bangunkan ketika pemerintahan British di Tanah Melayu sejak 163 tahun lalu.

Bagaimanapun, penjara yang boleh memuatkan 500 banduan dalam satu masa itu kini dijadikan muzium penjara sejak penghujung 2014 lalu.

Loading...
Terkini