Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
RIO DE JANEIRO: Selepas 10 tahun, Malaysia kembali menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Museum of Modern Art (MAM) di sini untuk menyertai sidang tersebut atas kapasiti negara tetamu.
Kali terakhir Malaysia menghadiri Sidang G20 pada tahun 2015 di Turkiye selaku Pengerusi ASEAN ketika itu.
Ketibaan Anwar disambut oleh Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selaku tuan rumah.
Selain Malaysia, 16 negara lain termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam adalah antara negara yang dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Di bawah tempoh Brazil menjadi presiden, Malaysia mengambil bahagian dalam dua inisiatif penting G20 iaitu Kumpulan Kerja Kelestarian Alam Sekitar dan Iklim (ECSWG) dan Inisiatif G20 mengenai Bioekonomi (GIB).
Ketika Sidang Kemuncak Pemimpin G20, Anwar akan menyampaikan pandangan Malaysia pada sesi ‘Menangani Kebuluran dan Kemiskinan’ dan ‘Reformasi Institusi Tadbir Urus Global’.
Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan pemimpin negara G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang mempunyai kepentingan bersama.
G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.
Pada 2023, Brazil adalah rakan dagangan ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.
Dalam kalangan negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import terbesar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.