comscore
Tumpuan :
Nasional

PM umum RM13 juta baik pulih infra, bantuan mangsa banjir Kedah

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM13 juta untuk membaik pulih infrastruktur rosak dan membantu penduduk yang terjejas dalam bencana banjir di negeri Kedah.

Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan untuk seluruh negeri Kedah, manakala RM3 juta lagi dikhaskan untuk pembaikan infra pasca banjir di daerah Kota Setar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bantuan itu disalurkan segera untuk memulakan kerja-kerja pelaksanaan selepas mengenalpasti keperluan mendesak.

“(Untuk daerah) Kota Setar sahaja kita peruntukkan RM3 juta. Untuk seluruh negeri Kedah, kita agihkan RM10 juta untuk pastikan selepas banjir (memenuhi) apa-apa kerosakan dan ganti rugi yang munasabah.

“Kita minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri selaraskan hal ini supaya disegerakan.

“Tujuan saya datang adalah untuk pastikan perjalanan yang baik dan semua bantuan kepada rakyat termasuk sawah padi disegerakan,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, di sini, pagi tadi.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan mangsa banjir yang berdaftar akan menerima bantuan kewangan dari kerajaan pusat.

Sumbangan RM1000 dari Nadma dan RM1000 daripada ICU akan disalurkan segera.

“Sudah disampaikan seribu ringgit, Menteri Besar ada sebut negeri pun akan tambah (peruntukkan).

“Yang penting, jika ada kerosakan, kerugian binatang ternakan dan hasil tanaman, itu harus kita teliti harus cuba ringan beban mangsa banjir,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau juga menyeru pihak bertanggungjawab memastikan empat projek tebatan banjir yang sedang dijalankan di negeri berkenaan disiapkan segera bagi mencegah banjir besar pada masa depan.

Terdahulu, beliau turut melawat PPS Stadium Sultan Abdul Halim dan selepas ini dijadualkan meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

Sehingga jam 12.30 tengahari, 7,839 mangsa banjir masih berada di 43 PPS di enam daerah di negeri Kedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini