comscore
Tumpuan :
Nasional

PM umum peruntukan RM1 juta untuk program kariah Masjid Jamek Tengah Berapit

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menandatangani plak perasmian pada majlis Kenduri Rakyat dan Perasmian Masjid Jamek Tengah Berapit, Bukit Mertajam. – FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Masjid Jamek Tengah Berapit di sini untuk memulakan projek maahad tahfiz dan program bagi mengimarahkan masjid berkenaan.

Anwar berkata pihaknya meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menyegerakan penyediaan surat supaya semua yang direncanakan dapat disegerakan.

Katanya, kos pembinaan setiap masjid baharu kebiasaanya menelan belanja antara RM7 hingga RM8 juta namun, Masjid Jamek Tengah Berapit yang dibina pada 1996 hanya membelanjakan sekitar RM3 juta.

“Oleh itu, pada hari ini untuk memulakan projek-projek kecil umpamanya maahad tahfiz dan program kariah masjid, saya mengumumkan peruntukan RM1 juta. Saya minta ICU percepatkan (buat surat) supaya saya dapat luluskan segera dan TKM (Timbalan Ketua Menteri) dan pejabat daerah sebagai penyelaras dapat pastikan program yang dirancang berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan masjid berkenaan yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Pengerusi Kariah masjid berkenaan, Fakhrul Azman Ali berkata masjid itu sudah siap dibina sejak 28 tahun lalu yang peruntukannya disumbangkan Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

“Masjid ini didirikan pada Januari 1996 dan digunakan ketika Solat Aidiladha pada 1997 dengan kos sebanyak RM2.1 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 juta disumbangkan Perdana Menteri yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri manakala baki RM900,000 adalah hasil sumbangan orang ramai.”

“Oleh kerana jasa dan sumbangan kewangan terhadap masjid ini, maka Jawatankuasa Kariah berharap suatu hari nanti masjid ini dirasmikan Perdana Menteri (Anwar) dan bersyukur apabila hasrat ini dimakbulkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini