KLANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada semua pihak, terutama petugas keselamatan dan kesihatan yang membantu sepanjang pengendalian insiden jet penumpang yang terhempas di Shah Alam, semalam.
Perdana Menteri mengakui berbangga dengan pengurusan nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 dengan begitu cekap.
“Saya ikuti (perkembangan kejadian terbabit) dari semalam. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana petugas keselamatan, jabatan agama, jabatan forensik dan beberapa badan kebajikan lain daripada kerajaan (bertindak pantas dan cekap).
“Persiapan penginapan semuanya diuruskan dengan begitu cekap dan saya bangga serta berterima kasih kepada mereka yang terbabit,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Dr Zaleha Mustafa dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.