Tumpuan :
Nasional

PM ucap takziah kepada Presiden Erdogan

Ciapan Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan atas gempa bumi terburuk yang melanda Turkiye.

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah dan doa kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan atas tragedi gempa bumi Turkiye.

Menerusi ciapan di akaun Twitternya, beliau memberitahu sempat bercakap dengan Presiden Erdogan sejurus tiba dari Bangkok, semalam.

“Sejurus tiba dari Bangkok semalam, saya sempat bercakap dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan untuk sampaikan ucapan dan doa atas tragedi bencana gempa yang menimpa Turkiye.

“Kerajaan Malaysia telah mengutus dua pasukan mencari dan menyelamat SMART serta membina satu ‘field hospital’ (hospital medan), selain rakyat yang turut mengumpul dana bagi membantu saudara di sana,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri memaklumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih RM8.6 juta kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu

Terdahulu, gempa bumi kuat melanda tenggara Turkiye dan negara jiran Syria pada awal pagi Isnin, memusnahkan bandar dan mengorbankan serta mencederakan lebih 23,000 nyawa.

Gempa bumi pertama berukuran 7.8 pada skala Richter kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan – berlaku berhampiran bandar Gaziantep di Turkiye, yang mempunyai populasi kira-kira dua juta orang.

Ia diikuti gempa susulan berukuran 7.5 pada skala Richter dan beberapa gegaran susulan.

Loading...
Terkini