Tumpuan :
Nasional

PM ucap takziah kepada keluarga Manmohan

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Bekas Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut menghargai jasa kebaikan yang dilakukan oleh mendiang kepada keluarganya.

“Manmohan menunjukkan kebaikan yang tidak perlu dilakukan, satu tindakan yang tidak membawa keuntungan politik, malah boleh dianggap sebagai tidak dihargai oleh kerajaan pada masa itu.

“Beliau menawarkan biasiswa untuk anak-anak saya, terutamanya anak lelaki saya, Ihsan. Walaupun saya menolak tawaran berkenaan, tindakan itu jelas menunjukkan sifat kemanusiaan dan kemurahan hati beliau yang luar biasa,” katanya, hari ini.

Tambah Anwar, sepanjang mengharungi ujian kehidupan, Manmohan setia di sisi sebagai seorang sahabat sejati.

“Kemurahan hati yang dilakukan secara diam-diam mencerminkan keperibadiannya dan ia akan tetap tersemat dalam hati saya selamanya.
“Selamat tinggal, sahabat ku (mitra), abang ku (bhai), Manmohan,” katanya.

Anwar turut menyifatkan Manmohan sebagai arkitek kepada perubahan ekonomi India dan pembantu kepada kemunculan India sebagai salah satu kuasa ekonomi dunia.

Manmohan merupakan Perdana Menteri India pertama berbangsa Sikh memimpin negara itu dari 2004 sehingga 2014.

Mendiang diiktiraf kerana memacu India ke arah pertumbuhan ekonomi yang luar biasa dan membawa ratusan juta orang keluar daripada kemiskinan yang teruk.

Pemimpin yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri India ke-13 dari 2004 hingga 2014 itu menghembuskan nafas terakhirnya di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), New Delhi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini