comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

PM ucap takziah kepada keluarga legenda muzik negara, Ahmad Nawab

Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tokoh Seniman Negara, Tan Sri Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan, yang meninggal dunia, petang tadi. FOTO IHSAN FB ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seniman negara, Tan Sri Ahmad Nawab Khan, yang meninggal dunia, petang tadi.

Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook, menyifatkan Ahmad Nawab bukan sekadar komposer dan pemuzik unggul tetapi seseorang yang memiliki jiwa seni yang menyentuh hati jutaan rakyat melalui karya-karya puitis, penuh keindahan dan makna.

“Negara kehilangan seorang tokoh dan permata seni yang begitu besar jasanya dalam memperkayakan landskap muzik tanah air, bukan sahaja menjadi warisan seni, tetapi juga menjadi pengikat perpaduan di dalam masyarakat kita.

“Jasa Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai legenda yang tiada galang gantinya.

“Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan ruh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah. Al-Fatihah,” katanya menurut hantaran itu.

Legenda muzik, Ahmad Nawab atau nama penuh Ahmad Khan Nawab Khan, 92, meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang tadi.

Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan.

Khairul Hafis berkata, datuknya tidak mempunyai penyakit kronik, namun, keadaannya lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.

Katanya, pengebumian arwah datuknya mungkin disempurnakan, pagi esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini