![](https://media.buletintv3.my/2024/12/KvkAk29E-BULETIN-TV3-AD-13.jpg)
Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah atas pemergian bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter.
Menurut Anwar, keberanian Carter dalam memperjuangkan isu Palestin dan menentang lobi pro-Israel amat disanjungi.
“Saya percaya tiada siapa meragui keberanian Carter yang meletakkan prinsip beliau mengatasi pendirian politik dalam isu Palestin.
“Beliau berani menentang “rail ketiga” politik Amerika dengan melabelkan amalan Israel di Palestin sebagai aparteid, jauh sebelum ramai yang berani melakukannya.” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambahnya, untuk itu juga Carter berdepan kritikan pedas daripada pelobi pro-Israel namun tetap teguh memperjuangkan penyelesaian dua negara.
“Hingga ke akhir hayatnya, beliau tidak berbelah bahagi (berjuang), tidak goyah, satu usaha kukuh untuk perdamaian dan keadilan.
“Rakyat AS sering berkata mereka tidak menghasilkan pemimpin seperti dulu. Bagi kes Carter, mereka memang tidak,” ujarnya.
Bagi Anwar, apa yang paling menonjol tentang Carter lagi adalah mengenai kesediaan pemimpin itu untuk melawan kebijaksanaan konvensional elit politik Amerika mengenai isu penting berkaitan perang dan keamanan.
“Sama ada dalam dialog dengan Cuba, memperjuangkan denuklearisasi Semenanjung Korea, atau mengutuk pencerobohan Iraq pada tahun 2003.
“Saya bersama pemimpin-pemimpin lain merakamkan rasa kesedihan atas kehilangan Jimmy Carter, dan meraikan abad luar biasa pengabdiannya kepada negara dan kemanusiaan.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.