KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15, merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Ucapan itu dizahirkan Anwar pada usul Ucapan Tahniah Kepada Sultan Ibrahim yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Ikrar Taat Setia Dewan, sebelum sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
“Saya selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15 bagi pihak Dewan yang mulia ini, dengan sepenuh ikhlas ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII (ke-17).
“Saya juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini turut dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan atas pemilihan Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau.
Pada masa sama, Anwar menzahirkan keyakinan kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan yang bertambah daripada pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.
“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuranyang berpanjangan,” kata beliau.