comscore
Tumpuan :
Nasional

PM ucap tahniah kepada Starmer atas kemenangan besar dalam pilihan raya

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Keir Starmer dan Parti Buruh Britain atas kemenangan besar mereka dalam Pilihan Raya Umum United Kingdom.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan Starmer dan pasukannya untuk membangunkan hubungan strategik baharu, dibina atas keterangkuman, kesaksamaan, saling menghormati, hubungan rakyat dengan rakyat dan visi bersama untuk masa depan.

Perdana Menteri menyifatkan perkongsian antara Malaysia dan Britain setakat ini adalah sesuatu yang berkekalan, terjalin menerusi sejarah panjang dan diperkukuh oleh ikatan persaudaraan yang erat.

“Penyertaan Britain dalam CPTPP (Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik) melebarkan lagi jalinan perkongsian ekonomi kita.

“Peraturan Pertahanan Lima Kuasa berfungsi sebagai asas untuk keselamatan bersama kita, meningkatkan kestabilan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang lebih erat,” katanya dalam catatan Facebooknya.

Menurut Agensi Berita Xinhua, Parti Buruh yang diketuai oleh Starmer telah memenangi majoriti langsung di Dewan Rakyat parlimen Britain, menurut pengiraan kerusi oleh Sky News.

Dengan keputusan 467 daripada 650 kerusi parlimen telah diumumkan, parti Buruh memenangi 326, kata Sky News awal Jumaat, seperti yang dipetik oleh agensi berita itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini