KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Ponggal kepada seluruh komuniti India di Malaysia.
Dalam hantarannya di Facebook, Anwar berkata perayaan Ponggal yang diraikan masyarakat Tamil selama empat hari bermula hari ini adalah sebagai tanda syukur.
“Menurut kalendar Tahun Tamil (Tahun Thiruvalluvar), perayaan Ponggal adalah permulaan bulan Thai yakni hari pertama Ponggal.
“Justeru, saya mengharapkan perayaan Ponggal pada tahun ini disambut dengan lebih meriah dan lebih bermakna di samping keluarga dan yang tersayang. Di pihak Kerajaan, kami akan terus bekerja dengan gigih agar tidak ada kumpulan dan kelompok masyarakat yang dipinggirkan, terutamanya kaum India.
“Kemiskinan di kalangan kaum India akan terus menjadi keutamaan Kerajaan. Lantas, kebersamaan dan perpaduan mesti terus diperkukuh sebagai jalan ampuh menjelmakan perubahan dan keamanan buat negara,” katanya.
Tambah Anwar, mewakili keluarga besar Malaysia, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baru Tamil dan selamat menyambut Perayaan Ponggal kepada seluruh masyarakat India terutamanya komuniti Tamil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.