KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian di Malaysia.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar turut menyifatkan perayaan itu sebagai satu manifestasi kekayaan budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau turut menegaskan betapa pentingnya perbezaan kaum dan budaya dijadikan sebagai sumber kekuatan untuk menjayakan konsep perpaduan nasional.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian. Hidupkan kecintaan antara insan, dan jadikan hari besar ini masa untuk mengeratkan hubungan dengan orang yang tersayang.
“Sering saya tekankan bahawa perbezaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping (coexistence),” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar sebarang usaha yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dielakkan demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
“Kita saling memerlukan dan melengkapi, terutama dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan,” tambahnya.
Perdana Menteri turut mengimbau semangat yang diilhamkan oleh tokoh-tokoh pendiri bangsa. Menurut beliau, Malaysia perlu dilonjak dengan nilai dan prinsip keadilan sejagat, selaras dengan aspirasi para pemimpin terdahulu yang mahu melihat negara ini berdiri megah di arena antarabangsa.
“Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok. Sebaliknya, kita harus bersatu demi menjulang masa depan dan maruah bangsa,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.