Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta 1,000 pesawah yang bercadang berhimpun di Putrajaya esok untuk tidak mengganggu lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia.
Katanya, beliau sama sekali tidak menghalang penyerahan memorandum oleh pesawah kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu.
Namun, himpunan itu dikhuatiri akan mengganggu perjalanan dan urusan lawatan rasmi negara Presiden Indonesia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri sendiri.
“Ada cadangan dari beberapa pesawah dari utara datang ke Putrajaya esok (Isnin), esok ini kita ada tetamu negara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam lawatan rasmi atas undangan Tuanku dan saya.
“Saya tidak menghalang hendak ada pertemuan nak serah memorandum kepada Menteri Pertanian silakan, tetapi buat urusan tetapkan masa yang sesuai,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran buku terbaru Profesor Naquib berjudul Islam: The Covenants Fulfilled di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Beliau juga bersedia menghubungi Mohamad Sabu untuk mengambil memorandum yang hendak diserahkan sekiranya pesawah terlibat mempunyai sebarang kemusykilan atau tuntutan.
Justeru, Anwar juga telah meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk mengawal keadaan di Putrajaya, esok.
“Saya telah minta supaya Ketua Polis Negara bantu untuk mengawal, tapi sebaiknya, saya minta dia elak.
“Kita kalau kita (kerajaan) tidak mahu jumpa, nak bantah bolehlah, ini kita kata boleh untuk jumpa.
“Nak ada perhimpunan aman silakan, tetapi janganlah ambil kesempatan itu untuk mengganggu gugat apa lagi majlis rasmi negara yang melibatkan negara sahabat,” katanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon penyerahan memorandum membabitkan 1,000 pesawah di Putrajaya esok ditunda ke tarikh lain susulan lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menghormati hasrat pesawat terbabit bagi mengunjungi Pejabat Perdana Menteri (PMO), namun tarikh berkenaan bertindih dengan lawatan pemimpin Indonesia itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.