PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Beliau yang tiba bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada jam 8.19 pagi, disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff sebelum memasuki dewan utama masjid bagi menunaikan solat Aidiladha.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
![](https://media.buletintv3.my/2023/06/dmJF0xqD-BULETIN-TV3-5.jpg)
Anwar kemudian bertakbir raya bersama kira-kira 20,000 jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali.
Perdana Menteri turut mendengar bacaan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Nilai Pengorbanan’ yang disampaikan Salahuddin.
Sebaik selesai khutbah, Anwar beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah lain.
Sementara itu, ribuan jemaah dilihat tidak berganjak dan terus memenuhi perkarangan masjid sebaik selesai solat sunat Aidiladha, semata-mata untuk menunggu Perdana Menteri.
![](https://media.buletintv3.my/2023/06/QZRnqRFi-BULETIN-TV3-19.jpg)
Anwar ketika bercakap kepada media sempat menitipkan ucapan ringkas bersempena Aidiladha.
“Eid mubarak, selamat semua, tenang semua. Sabar dan semangat pengorbanan semua, Insya-Allah. Selamat negara, selamat umat,” katanya sebelum meninggalkan Masjid Putra, jam 9.20 pagi tadi.
Perkarangan Masjid Putra turut dipenuhi warga asing yang mahu bersalaman dengan Anwar.
Dalam pada itu, penceramah bebas, Dr Zakir Naik turut menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra.
Zakir yang menetap di Malaysia bagaimanapun beredar lebih awal sebaik selesai solat .