comscore
Tumpuan :
Nasional

PM tunai solat Jumaat, makan tengah hari bersama rakyat di Titiwangsa

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Ibn Mas’ud, Kampung Datuk Keramat di sini.

Beliau yang tiba di masjid sekitar jam 1.20 tengah hari disambut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa serta pengurusan masjid dan jemaah lain.

Solat Jumaat diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Ibn Mas’ud, Muhammad Khairul Razikin Abdul Razak.

Turut serta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengerusi Kumpulan Media Prima (MPB), Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid.

Datuk Seri Anwar bersama lebih seribu jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk ‘Optimis Mendepani Cabaran Kehidupan’ yang antara lain menyimpulkan bahawa ketakwaan mampu menjadikan seseorang Mukmin optimis memandang dengan penuh harapan dan keyakinan bahawa setiap ujian pasti diakhiri dengan kemudahan, ganjaran pahala atau kebaikan di akhirat.


Terdahulu Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk kawasan Titiwangsa di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA).

Ia turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
 
Loading...
Terkini