Tumpuan :
Nasional

PM Timor-Leste sebak bicara soal keamanan dunia

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao sebak ketika membicarakan mengenai keamanan dunia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timor-Leste menyatakan komitmen untuk bersama-sama negara anggota ASEAN dalam memperjuangkan keamanan di dunia meskipun belum menjadi anggota penuh blok serantau itu.

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, pihaknya menzahirkan kebimbangan mengenai penderitaan berterusan yang dihadapi penduduk di Gaza susulan peperangan Israel-Palestin.

“Kami menekankan kepentingan dialog, toleransi dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa kerana di Ukraine, mereka bercakap tentang undang-undang antarabangsa sebagai asas.

“Di Gaza, mereka lupa undang-undang antarabangsa dan mereka mula membuat rakyat Palestin menderita. Namun, sebelum dan selepas menjadi ahli (tetap) ASEAN, bersama-sama kita akan memperjuangkan keamanan di dunia,” katanya dalam nada sebak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat dua hala di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Xanana Gusmao dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia sehingga esok iaitu kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada 1 Julai tahun lalu.

Sementara itu, Anwar berkata, kedua-dua pemimpin berada di landasan sama bahawa terdapat keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera dan kekal terhadap konflik berterusan di Gaza serta menuntut Israel supaya memastikan bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Palestin.

“Saya telah merakamkan penghargaan yang mendalam atas sokongan beliau terhadap isu-isu mengenai Gaza-Palestin dan kebimbangan beliau dinyatakan dalam isu Sudan, Yaman, Myanmar.

“Dalam kebanyakan forum antarabangsa, saya mendapati Perdana Menteri Xanana Gusmao sangat tegas, komited dan konsisten dengan pendirian, prinsip beliau dalam isu keadilan dan kebebasan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini