JAKARTA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak campur tangan dalam urusan Jabatan Peguam Negara menghentikan pendakwaan ke atas kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.
Perdana Menteri berkata, Jabatan Peguam Negara memiliki kuasa penuh terhadap kes itu dan jabatan itu juga sudah membuat penjelasan mengenainya.
“Jabatan Peguam Negara mempunyai kuasa penuh terhadap kes ini dan ia sudah membuat penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ‘Temu Anwar’ di sini malam tadi.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Pejabat Peguam Negara semalam pula menjelaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya, dibuat berdasarkan alasan yang dikemuka dan diterima oleh mahkamah.
Jabatan Peguam Negara memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang membuat keputusan itu sudah menyatakan alasan dikemuka pihak pendakwaan adalah kukuh.
“Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah berdasarkan kepada alasan-alasan yang dikemuka dan telah pun diterima oleh mahkamah.
“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan alasan-alasan yang dikemuka oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” kata Pejabat Peguam Negara.