Tumpuan :
Nasional

PM tiba di Peru, mula lawatan sulung ke rantau Amerika Latin

FOTO: PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi sulung beliau ke rantau Amerika Latin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Pesawat yang membawa Anwar mendarat di Pangkalan Tentera Udara Peru pada jam 11.15 malam waktu tempatan hari ini (12.15 tengah hari waktu Malaysia Rabu, 13 November).

Ketibaan beliau; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham.

Mengiringi beliau dalam pesawat sama dari Kaherah, Mesir adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Si.

FOTO: PMO

Delegasi Malaysia turut disambut oleh Kerajaan Peru yang diwakili oleh Menteri Pengeluaran, Sergio Gonzalez Guerrero; Ketua Protokol Kementerian Luar, Luis Escalante Schuler dan Panglima Pangkalan Udara, Jeneral Julio Cesar Gutierrez.

Anwar kemudian menerima tabik hormat daripada pasukan tentera Peru sebelum ke hotel penginapan bagi meneruskan mesyuarat pra-majlis.

Jadual padat menanti Perdana Menteri sepanjang empat hari di ibu negara Peru itu termasuk pertemuan dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan Peru bagi membincangkan kerjasama dua hala dan mengukuhkan hubungan persahabatan Kuala Lumpur-Lima.

Anwar juga akan menerima pingat tertinggi Kerajaan Peru iaitu ‘El Sol del Peru’ sebagai satu penghormatan tertinggi kepada ketua kerajaan.

‘El Sol del Peru’ adalah penghargaan tertinggi yang diberikan oleh Republik Peru dengan gred Gran Cross dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar, menteri negara, duta besar asing yang telah diiktiraf atau presiden pihak berkuasa awam.

Selain itu, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.

Wakil-wakil syarikat ternama dunia seperti TikTok dan Google dijadual akan menemui Perdana Menteri.

FOTO: PMO

Pada 14 November, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC sebagai ahli panel dalam sesi bertajuk ‘Peluang dan Cabaran di dalam Revolusi Kecerdasan Buatan (AI)’.

Pada 15 November, Perdana Menteri akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Beliau juga dijangka menyampaikan Pencelahan (Intervensi) Malaysia semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November.

Di sela-sela AELM, Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain termasuk dari Jepun dan New Zealand.

Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta akan menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.

Negara Amerika Selatan itu bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, meningkat 36.3 peratus daripada RM847.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini