Tumpuan :
Nasional

PM tiba di Jepun untuk lawatan kerja lima hari

Oleh: Halim Mohamed

TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Jumaat malam untuk lawatan kerja lima hari.

 

Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Anwar dari Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda Tokyo pada pukul 11.40 malam waktu tempatan. Beliau disertai isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia Ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan Naib Menteri Luar Jepun, Yasushi Hosaka.

Datuk Seri Anwar turut diiringi Menteri Luar yang baru dilantik, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pada Sabtu, Datuk Seri Anwar akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat  dari Jepun, Fumio Kishida, dan disusuli perjumpaan dengan ketua-ketua eksekutif syarikat korporat gergasi dan pemimpin-pemimpin industri.

Pada Ahad, Datuk Seri Anwar akan menyertai rakan sejawatannya dari ASEAN – antaranya Presiden Indonesia Joko Widodo, Srettha Thavisin dari Thailand, Lee Hsien Loong dari Singapura, Phạm Minh Chính dari Vietnam, Hun Manet dari Kemboja, dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr – di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Sidang Kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun yang menekankan hubungan strategik antara Jepun dan sebahagian besar Asia Tenggara yang diwakili oleh ASEAN.

Pada Isnin, Datuk Seri Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Komuniti Sifar Emisi Asia dan bertemu dengan diaspora Malaysia pada sebelah petang sebelum mengakhiri lawatannya.

Loading...
Terkini