Tumpuan :
Nasional

PM tiba di Hanoi untuk lawatan kerja 2 hari

FOTO: Ihsan PMO

Oleh: Juliana Sharin

HANOI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Hanoi untuk lawatan kerja dua hari ke Vietnam atas jemputan rakan sejawatnya, Pham Minh Chinh.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai pada jam 7:10 malam (waktu tempatan).

Sebaik tiba, Anwar disambut oleh Timbalan Menteri Luar Vietnam, Ngo Le Van.

Turut hadir menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang ialah Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.

Beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Anwar dijadualkan menyampaikan ucaptama di Forum Masa Depan ASEAN Kedua.

Menurut kenyataan Wisma Putra, forum ini merupakan platform perbincangan inklusif dan dialog antara pemimpin ASEAN, pembuat dasar, pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan, dan pihak berkepentingan mengenai hala tuju masa depan ASEAN.

“Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai MADANI dan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025, serta mengetengahkan keutamaan dan pencapaian Malaysia tahun ini. Ini termasuk usaha mempromosikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim, dan tenaga boleh diperbaharui,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini