comscore
Tumpuan :
Nasional

PM terima kunjungan hormat pengasas, delegasi WEF 

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Prof Klaus Schwab.

Anwar ketika ini berada di Vientiane, Laos, mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang berkaitan bermula 8 hingga 11 Oktober.

Beliau yang menyifatkan Schwab sebagai “sahabat lamanya” berkata perbincangan mereka menyentuh pelbagai perkara penting terkait perkembangan ekonomi serantau dan global.

“Prof Schwab turut memanjangkan jemputan untuk saya menghadiri WEF di Davos pada Januari tahun depan. Insya-Allah akan saya pertimbangkan,” kata Anwar menerusi hantaran terkini di laman sosial rasmi beliau.

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

Klaus merupakan pengasas WEF dan menyandang jawatan pengerusi sejak mengasaskan organisasi tersebut pada 1971.

WEF adalah sebuah organisasi antarabangsa yang bebas, melibatkan perniagaan, politik, akademik dan pemimpin masyarakat yang lain untuk membentuk agenda global, serantau dan industri.

Forum utama bagi dunia korporat itu terkenal dengan mesyuarat tahunannya pada penghujung Januari di Davos, sebuah pusat peranginan gunung di kawasan timur Alps di Switzerland.

Mesyuarat WEF seterusnya dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 19 Januari 2025.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini