
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat delegasi pimpinan Muhammadiyah, sebuah pertubuhan Islam dari Indonesia hari ini.
Ia diketuai Ketua Umumnya, Profesor Dr Haedar Nashir.
“Di kesempatan ini, saya singgung beberapa pengalaman silam dengan tokoh lama Muhammadiyah seperti Buya Hamka.
“Kami berbincang mengenai idea MADANI yang telah saya kemukakan peringkat awal di Festival Istiqlal di Jakarta dan bersama pemikir lain dalam mencari perspektif yang lebih tepat berbanding memakai istilah masyarakat sivil (civil society) supaya MADANI dipilih kerana ianya sarat dengan nilai dan maknanya yang tersendiri,” katanya dalam laman sosial Facebook.
Dalam pertemuan itu, kedua-duanya juga bertukar pandangan mengenai cabaran besar umat Islam khususnya dalam bidang pendidikan, peradaban serta perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rantau ini.
Pertemuan seperti itu ujar Anwar, bukan sahaja penting dalam mengeratkan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia, malah ianya akan memperteguhkan keyakinan dan iktikad baik kita untuk terus berkerja kuat.
“Insya-Allah, saya percaya melalui kerja keras dan kemahuan yang tinggi, Malaysia dan Indonesia boleh berkerja rapat dalam mengisi harapan ini,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.