Tumpuan :
Nasional

PM terima kunjungan Dr Omar Suleiman, bincang isu Islam dan Gaza

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima empat kunjungan hormat semalam, termasuk daripada ilmuwan dan pendakwah terkenal Amerika Syarikat (AS) berketurunan Palestin, Dr Omar Suleiman, di Bangunan Parlimen.

Dalam hantaran di Facebook, beliau memaklumkan perbincangan menyentuh isu gencatan senjata di Gaza, perkembangan Islam di bawah kepimpinan Presiden AS, Donald Trump, serta peranan Malaysia dalam menyebarkan mesej Islam yang inklusif dan sederhana.

“Beliau turut menyampaikan penghargaan terhadap usaha Malaysia melalui platform multilateral dalam program pembangunan semula Gaza yang kini sedang giat dirancang sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pertemuan berasingan, Anwar turut menerima kunjungan Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, bagi membincangkan penyelesaian konflik di negara itu.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, adalah sangat mustahak bagi menjamin dan memastikan wujudnya keamanan di negara itu dengan menggunakan pendekatan penuh berhati-hati mengikut kesesuaian semasa.

“Blok ASEAN perlu memainkan watak penting dalam keterlibatan semua pihak bagi menyelesaikan konflik itu untuk menjamin keamanan serantau,” katanya.

Selain itu, beliau menerima kunjungan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, dan menyampaikan penghargaan atas jasa serta khidmat baktinya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anwar turut menerima delegasi diketuai Pengarah Urusan Neutral Transmission Sdn Bhd, Dr Mohamed Awang Lah, bagi membincangkan usaha memperkasa infrastruktur serta industri telekomunikasi negara, termasuk peningkatan perkhidmatan internet, jalur lebar, serta teknologi 4G dan 5G.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini