Tumpuan :
Nasional

PM terima anugerah awam tertinggi Pakistan, Nishan-E-Pakistan

Anwar berjabat tangan dengan Shehbaz di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan di Islamabad – FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

ISLAMABAD: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurniakan anugerah awam tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan, oleh presiden negara itu Asif Ali Zardari dalam satu majlis di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke negara Asia Selatan itu, melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Zardari.

“(Anugerah ini) merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Pakistan atas kepimpinan Anwar dalam menggalakkan dan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan,” kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Mohammad Azhar Mazlan kepada media Malaysia baru-baru ini.

Turut menghadiri majlis anugerah itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan anggota delegasi Malaysia yang lain.

Presiden Zardari kemudiannya meraikan Perdana Menteri Malaysia itu dalam majlis makan malam di Istana Presiden.

Sebelum ini, pada 2019, kerajaan Pakistan mengurniakan anugerah yang sama kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan.

Pada 2019, Malaysia dan Pakistan menandatangani perjanjian Perkongsian Strategik.

Kuala Lumpur dan Islamabad juga memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2008 yang merangkumi perdagangan barangan, pelaburan dan kerjasama teknikal.

Pakistan merupakan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia di Asia Selatan sejak 2016.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM6.43 bilion tahun lepas, melibatkan eksport dari Malaysia berjumlah RM4.39 bilion manakala import negara dari Pakistan bernilai RM2.04 bilion, dengan lebihan dagangan RM2.34 bilion memihak kepada Malaysia.

Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Pakistan berjumlah RM5.10 bilion.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini