Tumpuan :
Nasional

PM tekankan pendekatan holistik dalam kelulusan projek ICT kerajaan

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) untuk memperhalusi kelulusan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan menerusi pendekatan ‘Enterprise Architecture’ (EA) secara holistik.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk memastikan kolaborasi merentas agensi, perkongsian infrastruktur, data, maklumat, dan perkhidmatan dapat dilaksanakan seiring dengan matlamat kerajaan dalam perbelanjaan berhemah.

“Justeru saya menegaskan kepada kementerian dan agensi terbabit agar mematuhi jadual pelaksanaan yang ditetapkan bagi memastikan hasil inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam catatan pada akaun Facebook miliknya selepas mempengerusikan mesyuarat MED4IRN di sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut membentangkan kemajuan pelaksanaan agenda transformasi negara yang menunjukkan perkembangan positif, khususnya dalam sektor perkhidmatan internet di institusi pendidikan tinggi.

Anwar memaklumkan bahawa penambahbaikan perkhidmatan WiFi di Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, dan Universiti Malaysia Perlis sudah selesai dilaksanakan.

“Selepas ini, usaha menambah baik perkhidmatan WiFi akan diperluaskan ke 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam, 24 Institusi Pendidikan Politeknik, dan 43 Kolej Komuniti,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini