comscore
Tumpuan :
Nasional

PM tegur Saifuddin pakai batik

Baju batik yang dipakai Saifuddin ditegur Perdana Menteri yang memintanya mematuhi etika pemakaian di Parlimen.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur seorang Ahli Parlimen blok kerajaan kerana tidak mematuhi etika berpakaian dengan mengenakan baju batik di Parlimen, hari ini.

Ia berlaku selepas perkara itu dibangkitkan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sebelum mengajukan soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, pagi tadi.

Rosol bertanya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai etika pemakaian batik selepas melihat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memakai batik bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

“Yang Dipertua, saya nak tanya, etika berpakaian di Parlimen, batik boleh dipakai hari apa sebab nampak Menteri Dalam Negeri pakai batik hari ini,” katanya.

Anwar kemudian terus menegur secara terbuka dan meminta Saifuddin mematuhi ketetapan peraturan pemakaian di Parlimen.

“Saya nak ingatkan Menteri Dalam Negeri, ikut peraturan Parlimen. Saya setuju dengan Hulu Terengganu (Rosol),” katanya.

Saifuddin yang duduk di belakang kerusi Anwar dan mengenakan baju batik berwarna ungu dilihat tersenyum serta mengangguk sebagai maklum balas kepada teguran itu.

Untuk rekod, pada 2021, pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang dalam kalangan Ahli Parlimen dipersetujui bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap Khamis.

Ia bukan satu arahan mandatori, sebaliknya bertujuan memartabatkan batik sebagai warisan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini