
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kementerian dan agensi kerajaan agar menganjurkan majlis berbuka puasa dalam suasana yang sederhana dan menghindari pembaziran.
Beliau menegaskan, tidak perlu berlebihan dalam mempamerkan kemewahan kerana dana tersebut lebih baik digunakan untuk memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Beringatlah supaya lebih sederhanakan makan minum itu supaya kita dapat menghayati roh dan semangat Ramadan Karim.
“Saya juga perhatikan, kadang-kadang jabatan, agensi-agensi, syarikat-syarikat kerajaan mula memberikan sumbangan-sumbangan. Itu digalakkan tetapi saya perhatikan juga ada kadang-kadang dia punya perkakasan itu agak berlebih dengan kotak-kotak yang sangat indah nak isi kurma.
“Kalau harga kotak lebih mahal daripada harga kurma, itu bagi saya satu pembaziran,“ katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mac di sini.
Sementara itu dalam ucapannya hari ini, beliau turut mengingatkan seluruh umat Islam untuk memberikan tumpuan lebih kepada bulan Ramadan.
“Bulan ini turunnya Al-Quran, jadi perlu kita ambil sedikit peringatan supaya membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesej Al-Quran kerana Al-Quran itu merupakan petunjuk kepada manusia.
“Dan supaya kita dapat menentukan pertimbangan diantara yang baik dan yang buruk,” tambahnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.