Oleh: Fareez Azman & Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pengurusan institusi pendidikan di negara ini perlu bertanggungjawab dalam menghentikan budaya buli.
Jelasnya, budaya buruk itu mesti dihentikan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Cuma saya bagi nasihat secara umum boleh berlaku di sekolah menengah kebangsaan (SMK), Maahad Tahfiz, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) semua.
“Ini kerana perlu libat guru besar, pengetua, naib canselor, pengetua kolej juga harus bertanggungjawab bagaimana menghentikan budaya buruk ini. Kerana terlalu banyak komplen, yang dapat tu kebetulan terbongkar di media sosial.
“Ia mesti dihentikan naya anak-anak,” jelasnya ketika ditemui media selepas Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan gejala buli di institusi pendidikan di negara ini.
Jelasnya, semua pihak tidak sepatutnya mempertahankan mahupun tolenrasi dengan budaya negatif itu dalam kalangan masyarakat.
“Ia tidak boleh berlaku jika budaya itu ditolak. Masalahnya, ia telah wujud dalam tradisi dan budaya yang menerimanya, ia amat menjijikkan.
“Saya beritahu kepada Menteri Pendidikan jangan tolak ansur kita dah bagi amaran nasihat jangan tolak ansur kerana ia tidak berlaku secara terpisah.
“Ia berlaku kerana budaya kita pertahankan, apa erti kepintaran kehebatan dan kepintaran tanpa nilai dan akhlak,” tegasnya dalam Program Temu Anwar di Dewan Lestari UPNM di sini.
Tambah Anwar, bagi menangani isu itu, semua pihak tidak seharusnya mengalah, sebaliknya memperbaiki kaedah yang dijalankan.
“Ini cabaran bagi kita pimpinan, Naib Canselor (universiti), pensyarah termasuk saya dan rakan menteri.
“Dalam program pendidikan dan latihan aspek nilai dan akhlak ditentukankan kerana kelemahan kita menyebabkan kita ambil sikap mengalah, toleransi terhadap buli,”jelasnya lagi.
Semalam, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM didakwa dibuli dan didera sedang dilaksanakan pihaknya.
Mangsa dikatakan dibuli oleh seniornya menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti tular di media sosial.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.