Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur yang dijadual berakhir 30 Jun ini, diteruskan mulai 1 Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.
“Setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela, Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai 2023,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi itu diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun ini.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemberian subsidi ayam dan telur akan berakhir pada 30 Jun dan pengapungan harga bermula pada 1 Julai.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi jawapan lisan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berhubung tempoh harga ayam dan telur akan diapung.
Mohamad berkata, penamatan tersebut bagi membolehkan KPDN menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini.
Tambahnya, bagi memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan selepas subsidi ditamatkan, KPKM melaksanakan mekanisme ‘soft-landing’ (pemulihan bertahap).
Beliau berkata, antara yang dilaksanakan ialah memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging hidup kecuali ‘Day Old Chick’ (DOC), ayam bulat, dan keratan ayam sepenuhnya serta membenarkan pengimportan ayam dan telur dari pelbagai negara sumber yang diiktiraf.
“Bagi pengimportan ayam, negara sumber yang dibenarkan termasuklah Thailand, China, Brazil, dan Denmark. Manakala bagi pengimportan telur, negara sumber yang dibenarkan ialah Thailand dan Ukraine,” kata Mohamad.